PROFIL PERSADA UMP


Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Dahulunya universiti ini dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM).

Universiti Malaysia Pahang (UMP) bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP) yang beroperasi di sebuah kampus yang terletak di Bandar Indera Mahkota, Kuantan sejak tahun 1999. Penubuhan Universiti ini adalah hasil daripada cetusan idea Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang mana ketika itu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

Hasil daripada usaha gigih beliau, Jemaah Menteri pada 26 Jun 2001 telah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah Universiti Teknikal Awam yang berasaskan kemahiran di Pahang dan dinamakan sebagai KUKTEM. KUKTEM adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ke-16 yang diwartakan pada 16 Februari 2002 dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Atas arahan Kementerian Pendidikan, kampus UTM-KCP telah diambil alih dan dijadikan kampus sementara KUKTEM pada 1 Mei 2002 dan memulakan Sesi Akademik 2002/2003 dengan mengambil seramai 307 orang pelajar pada 30 Mei 2002.

Bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat, KUKTEM telah berpindah ke kampus sementara yang lebih besar dan kondusif di Bandar MEC, Gambang pada 24 April 2003. Kampus yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat Bandar Kuantan ini mempunyai keluasan 65,000 m² dan terletak di lokasi strategik yang berhampiran dengan Lebuh Raya Pantai Timur, zon perindustrian kimia, petrokimia, pembuatan, automotif dan juga bioteknologi bagi Pahang.

Setelah lima tahun beroperasi, pihak Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuatkuasa mulai 1 Februari 2007. Dengan pertukaran ini, nama KUKTEM kini dikenali sebagai UMP. Walaupun telah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya iaitu mencapai 10,000 hingga 15,000 orang pelajar. UMP turut mengekalkan bidang-bidang yang difokuskan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.


SERANTA







Unit Seranta (FELDA) telah ditubuhkan pada bulan Mei 1981 iaitu kira-kira 27 tahun yang lalu. Pada peringkat awal penubuhannya, Unit Seranta (FELDA) telah diletakkan di bawah Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Berikutan dengan penstrukturan semula kementerian-kementerian pada 27 Mac 2004, Unit Seranta (FELDA) telah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri apabila FELDA diletakkan di bawah tanggungjawab YAB. Perdana Menteri bermula pada bulan Jun 2004 sehingga kini. Kini, Pejabat Unit Seranta (FELDA) terletak di Aras 2, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan jumlah pegawai seramai 112 orang..

Seranta bermaksud pegawai yang tugasnya mewujudkan dan memelihara hubungan baik antara organisasi/institusi yang dianggotainya dengan orang ramai serta meningkatkan imej organisasi/institusi yang berkenaan. Antara bidang tugas Seranta ialah memantau sosio politik warga FELDA yang keseluruhannya berjumlah hampir 1.35 juta orang.


LATAR BELAKANG PERSADA UMP

FELDA telah wujud lebih setengah abad yang lalu apabila Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ke dua Malaysia, pada tahun 7 Julai 1956 menubuhkan dan melancarkan FELDA Lurah Bilut di Pahang.

Generasi baru FELDA yang terdiri daripada generasi ke-dua, ke-tiga dan ke-empatnya, kini bertanggungjawab mengisi kematangan FELDA dan meneruskan  tradisi generasi pertama; cekal, tabah, semangat dan bercita-cita tinggi untuk membangunkan FELDA dari rancangan ke perinqkat dunia.

Sekreteriat Permuafakatan Mahasiswa dan mahasiswi FELDA (PERSADA) merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menjana masyarakat FELDA yang terdiri daripada para mahasiswa di IPTA/IPTS untuk melahirkan masyarakat FELDA yang menumpu kepada mendidik; keorganisasian, keusahawanan, kemahiran, pendidikan, sukan, kebudayaan, kemasyarakatan, membanteras gejala sosial dan kesukarelaan.

Penubuhan PERSADA juga turut menerapkan input, peranan dan dorongan bertindak yang tepat bagi memastikan warga FELDA yang belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari pelbagai latar belakang pengalaman dan pendidikan digerakkan agar usaha mencapai hasrat sebagaimana yang telah digariskan berjalan dengan teratur dan tersusun.

Penubuhan PERSADA bukan sahaja dapat melahirkan mahasiswa yang cemerlang dari sudut kepimpinan malah dapat membantu mengeratkan hubungan di antara mahasiswa dan mahasiswi UMP yang berlatar belakang FELDA serta turut dapat membantu untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah bagi memenuhi matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. 


MATLAMAT 

Melahirkan mahasiswa/mahasiswi FELDA yang memiliki kualiti sahsiah yang tinggi, berketerampilan, bertanggungjawab dan pintar bermasyarakat untuk bersama masyarakat FELDA di rancangan membangunkan FELDA.


OBJEKTIF

  1. Meningkatkan kepimpinan siswa/i FELDA
  2. Mewujudkan kumpulan pemikir yang dapat menyumbang kepada generasi FELDA
  3. Meningkatkan pempangunan modal insan selaras dengan hasrat universiti
  4. Membina jaringan dan kerjasama yang erat di kalangan siswa/i FELDA



 VISI PERSADA

Melahirkan mahasiswa/mahasiswi FELDA yang memiliki kualiti sahsiah yang tinggi, berketerampilan, bertanggunjawab, dan pintar bermasayarakat untuk mencapai hasrat kerajaan dan universiti.



MISI PERSADA 
Menyatukan dan membimbing mahasiswa FELDA serta mahasiswa UMP mencapai objektif dan visi penubuhan PERSADA.